KUALA LUMPUR: Tuntutan berhubung pembangunan jalan raya di negeri Sarawak dan Sabah dimasukkan dalam salah satu agenda Rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkara tersebut sedang diteliti oleh Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu iaitu salah satu jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Majlis Khas MA63.
Menurutnya, keputusan daripada jawatankuasa itu akan dibawa untuk pertimbangan Majlis Khas MA63 yang dipengerusikan bersama-sama oleh Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah dan Ketua Menteri Sarawak.
“Isu tersebut sebenarnya berkaitan dengan penguatkuasaan Arahan Perbendaharaan (AP) 182 bagi projek-projek Kerajaan Persekutuan di Sabah dan Sarawak,” katanya semasa menggulung perbahasan bagi Kementerian Kerja Raya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Sebagai rekod, Fadillah berkata AP182 antara lain telah menggariskan tentang kebertanggungjawaban dan mandat kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selaku Jabatan Teknik Persekutuan bagi melaksanakan semua projek pembangunan fizikal yang dibiayai menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan di negara ini.
“Ia melibatkan semua proses pelaksanaan projek; termasuk perolehan, penentuan skop, kos projek dan lain-lain,” tambah Fadillah.
KKR, katanya, sentiasa gigih melaksanakan projek pembangunan dan penyelenggaraan Jalan Persekutuan selaras dengan dokongan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 bagi semua negeri di negara ini.
Berkenaan penggunaan teknologi yang digunakan oleh KKR, JKR Malaysia yang merupakan agensi pelaksana bagi pembinaan jalan Persekutuan sentiasa mengikuti perkembangan teknologi bagi industri pembinaan jalan serta merintis penggunaan aplikasi teknologi baharu bagi pembinaan jalan persekutuan seperti penggunaan Crump Rubber Modified Asphalt, Super Fibre Mix dan konkrit berdasarkan penggunaan dan jenis kenderaan yang melalui jalan tersebut, tambah beliau.
“Kajian dan penyelidikan berterusan akan dilaksanakan melalui agensi penyelidikan JKR Malaysia iaitu Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE),” katanya.
Sehubungan itu Fadillah berkata, KKR melalui JKR Malaysia komited dalam memastikan jalan sentiasa dalam keadaan yang selamat dan selesa dengan menjalankan kerja-kerja penyenggaraan rutin sepanjang tahun.
Sumber dari : Jiwa Bakti